Pesan untuk generasi belia


Tidak boleh tidak kita mesti meneruskan untuk sering berpesan-pesan ke arah perkara berkebajikan untuk kebaikan hidup di dunia dan akhirat nanti. Perkara ini semakin penting tuntutannya bagi generasi muda belia. Jangan sampai mereka menjadi generasi yang mudah lupa, akibatnya kita akan menanggung segala akibat dan implikasinya. Generasi baru di kalangan remaja dan belia harus diasuh dan dijinakkan untuk menghayati Al-Qur’an. Pembinaan yang terpahat dengan keindahan pendidikan Al-Qur’an, akan menjamin suatu kehidupan yang boleh mewujudkan ketenteraman dan keamanan yang berterusan. Generasi yang terdidik dengan pengajaran Al-Qur’an sudah pasti akan dapat mewujudkan masyarakat yang lebih sempurna dan terarah. Gejala sosial dan cabaran negatif yang selalu menghantui masyarakat sudah pasti akan dapat dihindarkan. Ramai yang merasakan di saat perubahan sosial yang bergerak pantas melanda, pelbagai kemungkinan akan berlaku. Kemungkinan-kemungkinan sedemikian ini juga adakalanya mempunyai hambatan yang merosak dan merubah suasana yang sedia ada.

Justeru keadaan ini menghasilkan banyak bahana sosial yang tidak bermanfaat. Natijahnya mungkin akan meninggalkan kesan perubahan sosial yang bercelaru di antara kebaikan dan kejahatan yang tercipta dari perubahan sosial yang diwujudkan. Banyak contoh jelas betapa rapuhnya perubahan sosial itu jika ia tidak disandarkan kepada keluhuran akhlak dan keindahan budi. Kedua-duanya saling berikat kerana ia melahirkan ‘standard’ diri yang berkualiti tinggi. Kita sebenarnya tidak dapat lari dari keadaan ini, akan tetapi bagaimana kita mengemudikannya menyebabkan kita tidak mudah karam dengannya.

Isu sosial bukan lagi merupakan hal yang tidak memerlukan pemedulian segera. Ia perlu ditangani dengan bekalan yang sempurna dan mantap. Hanya dengan menjadikan Al-Qur’an sebagai asas dan panduan kita semua, segalanya akan dapat diatasi dan dibanteras dengan sebaiknya. Banyak perkara dan hal yang kita lalui dalam kehidupan ini, kini sebahagiannya sudah menjadi isu sosial seharian. Paling ketara bila pergaulan bebas semakin menjadi budaya yang sudah meresap di kalangan generasi muda belia kita. Kebebasan yang ditimbulkan dari fenomena sedemikian ini, tidak dapat tidak menimbulkan kesan perubahan masyarakat yang sedia ada. ‘Virus’ yang dihasilkan dari pergaulan ini bukan merupakan masalah ringan yang tidak perlu dipeduli. Kerana itu setiap anggota masyarakat remaja memainkan peranan dalam membentuk cara dan corak pergaulan yang baik dan cemerlang yang berteraskan ajaran agama yang kukuh.

ARUS PERUBAHAN

Belia remaja yang ingin mengekalkan pergaulan terpuji di kalangan rakan-rakan mereka mestilah mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti berakhlak mulia, beradab ketika berbicara, sering memberi salam, jujur, memelihara amanat, sabar, toleransi dan banyak lagi hingga kepada hendaklah menanamkan rasa memuliakan teman atau rakan yang baik di setiap pertemuan. Pergaulan juga harus dijaga dari perkataan yang sia-sia, kotor dan yang merupakan bagi setiap individu Muslim. Sebenarnya fenomena sedemikian ini berlaku kerana ada arus dan gelombang perubahan.

Gelombang perubahan bukanlah sesuatu yang pada keseluruhannya berbentuk negatif kepada individu tertentu akan tetapi ia merupakan satu proses yang akan mengangkat dan merubah keadaan yang sedia ada. Ramai yang tersalah tafsir apabila mendepani perubahan sosial misalnya. Generasi muda remaja akan lebih terarah kepada pembaharuan yang dibawakan sama ada dalam bentuk fesyen, keterampilan dan gaya pembawaan. Sedangkan perubahan itu bukanlah merupakan alasan untuk kita menjadi pak turut. Perubahan itu jika kita tersalah tafsir akan membawa kita kepada satu keadaan yang ada kalanya tidak bersesuaian dengan cara dan falsafah kehidupan kita sendiri. Inilah halnya pada diri dan sekeliling kita, kalau kita perhatikan seakan terdapat perubahan-perubahan sosial yang menjurus ke arah penghakisan budaya dan nilai-nilai identiti.

NILAI TAMBAH

Banyak perkara-perkara yang sebelumnya tidak pernah wujud kini sudah menjadi ‘added value’ dalam kehidupan bermasyarakat. Nilai yang kita maksudkan sama ada baik ataupun tidak ternyata ia sudah berada di tengah-tengah kehidupan masyarakat kita. Bila ini berlaku kita tidak boleh membiarkan begitu sahaja. Kerana jika kita hanya menjadi penonton dalam menyaksikan perubahan yang bukan berdasarkan nilai-nilai kehidupan kita, ia akan bertapak menjadi budaya. Perkara ini selalunya banyak mengundang gejala sosial yang menjadi virus masyarakat. Generasi belia Islam, hendaklah sentiasa ingat bahawa kita diciptakan di muka bumi ini untuk mewujudkan ketaatan dan pengabdian kepada Allah serta untuk menyerahkan diri sepenuhnya terhadap seluruh keputusan-Nya.

Janganlah kita jadi orang yang mudah lupa dan ingatlah peranan dan tanggungjawab kita untuk membina keharmonian dan kesejahteraan bersama. Kita perlu menanai tanggungjawab sedemikian dengan penuh teliti dan tidak membiarkannya berlalu dengan begitu sahaja, kerana jika kita lalai atau dilalaikan oleh suasana sekeliling ia akan mengundang kerisauan. Inilah yang menjadi kerisauan kita, jika semakin kurangnya sensitiviti generasi belia remaja untuk berperanan menjadi benteng pembauran suasana yang sedemikian, maka akan rapuhlah warisan yang menjadi nilai dan identiti bangsa. Sebagai generasi muda remaja, kita perlu menjadi benteng dalam mempertahankan apa yang kita miliki, sekalipun arus dan gelombang perubahan sekeliling bergolak dengan giatnya. Kita tidak boleh kehilangan peranan dan tanggungjawab. Jika ini berlaku maka kita akan diperangkap dengan kemasukan pelbagai anasir atau gejala sosial yang lebih merunsingkan kita.

HADAPI DENGAN PENUH HARAPAN

Justeru pesanan khusus kepada generasi belia remaja, jangan lalaikan peranan dan tanggungjawab. Meskipun perubahan yang berlaku dengan pesatnya, namun jangan jadikan ia sebagai halangan untuk mengorak langkah kebaikan yang dapat menyempurnakan impian menjadi masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Kita memerlukan keadaan seperti ini, kerana kita menginginkan kemajuan yang terpimpin dan cara hidup yang dikawal dan sempurnakan oleh kehendak beragama dan bermasyarakat yang lebih baik. Kita perlu mempertahankan identiti bangsa dan negara. Kerana kehilangan identiti dan budaya yang ada, merupakan satu kehilangan besar dalam mewujudkan semangat nasionalisme.

Justeru generasi belia remaja meskipun mahu untuk melangkah maju ke hadapan jangan tinggalkan kewajipan terhadap agama, bangsa dan negara tercinta. Sebagai generasi harapan bangsa hendaknya sentiasa kembali dan ingat bahawa tanggungjawab kita adalah untuk agama, masyarakat dan negara tercinta. Biarkan tanggungjawab yang kita mainkan itu dapat membantu sekurang-kurangnya mengurangkan gejala sosial dan membina kebaikan secara menyeluruh dan berpanjangan.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Zoemalang's community

ujung malang adalah Sebuah desa yang hilang terganti dengan ujung harapan

YoYo Games Blog Feed

Ujung malang adalah Sebuah desa yang hilang terganti dengan ujung harapan

Dealer Termurah

Menjual Segala Jenis Motor Baru Di Indonesia Cash Maupun Kredit

%d blogger menyukai ini: